ResepiCheNom
Ikan Kembung Bakar Air Asam Kerisik
Ikan

Ikan Kembung Bakar Air Asam Kerisik

Hai semua! Hari ni Che Nom nak kongsikan satu lagi resepi lauk yang confirm buat kita makan nasi bertambah-tambah, iaitu Ikan Kembung Bakar Air Asam Kerisik style orang Utara.

Resepi ni memang padu, gabungan ikan kembung segar yang dibakar wangi, dicicah pula dengan air asam yang pekat dan cukup rasa. Rasa pedas dari cili, masam dari asam jawa dan limau, ditambah pula aroma istimewa dari belacan bakar dan lemak-lemak kerisik tu, fuhh memang terangkat!

Che Nom akan tunjukkan cara buat dari A sampai Z, supaya air asam kita betul-betul 'kick'. Jom kita tengok cara penyediaannya.

Kongsi:
Advertisement
Che Nom
Dikongsi olehChe Nom
4 Oktober 202510K paparan1 Komen

Masa Penyediaan

Masa Memasak

Jumlah Masa

Hidangan

Bahan-bahan

Bahan-bahan Air Asam Kerisik

  • 2 sudu besar pes asam jawa (dibancuh dengan 1 cawan air suam)
  • 2 biji bawang besar
  • 3-4 biji tomato
  • 8-10 biji cili padi (ikut tahap kepedasan)
  • 3-4 tangkai cili besar merah & hijau
  • 1 ketul belacan sebesar ibu jari (dibakar)
  • 2-3 sudu besar kerisik
  • 1-2 biji limau nipis (ambil jusnya)
  • Garam, gula, dan serbuk perasa secukup rasa
Iklan

Bahan-bahan Ikan Bakar

  • 8-10 ekor ikan kembung (saiz sederhana)
  • 1-2 sudu teh serbuk kunyit
  • 1 sudu teh garam
  • 1 sudu besar air asam jawa
  • Beberapa helai daun pisang
  • 1 sudu besar minyak masak
Iklan

Cara Menyediakan

Cara Menyediakan Air Asam Kerisik

  1. 1
    Mula-mula, sediakan air asam jawa. Ramas 2 sudu besar asam jawa bersama 1 cawan air suam. Tapis untuk mendapatkan air asam yang pekat.
  2. 2
    Sediakan bahan-bahan untuk dikisar. Ambil separuh dari 1 biji bawang besar, 1-2 biji tomato, semua cili padi dan 2 biji cili besar. Potong kasar kesemuanya.
  3. 3
    Bakar seketul belacan di atas api dapur sehingga naik bau wangi.
  4. 4
    Masukkan bahan potong kasar tadi ke dalam pengisar. Tambah belacan bakar, air asam jawa, sedikit garam, gula, dan serbuk perasa. Kisar sederhana halus, jangan sampai terlalu lumat ya.
  5. 5
    Sekarang, sediakan bahan hiris. Hiris nipis baki bawang besar, tomato, dan cili besar.
  6. 6
    Tuangkan bahan kisar ke dalam mangkuk berisi bahan hiris. Gaul rata.
  7. 7
    Masukkan 2-3 sudu besar kerisik dan perahkan jus limau nipis.
  8. 8
    Gaul dan ramas manja kesemua bahan hingga sebati. Cara ni akan buat rasa air asam lebih mesra. Rasa dan perbetulkan masin, masam, dan manisnya. Ketepikan sebentar supaya semua rasa sebati.
Iklan

Cara Menyediakan Ikan Bakar

  1. 1
    Siang ikan kembung, buang insang dan perutnya. Cuci bersih dan toskan air.
  2. 2
    Kelar serong kedua-dua belah badan ikan supaya bahan perapan meresap elok.
  3. 3
    Dalam satu bekas, satukan serbuk kunyit, garam, dan air asam jawa. Lumurkan pada ikan sehingga rata, termasuk di bahagian dalam perut. Perap selama lebih kurang 15 minit.
  4. 4
    Ambil daun pisang yang telah dibersihkan dan layurkan sekejap di atas api supaya lembut dan mudah dilipat. Potong sekadar cukup untuk membalut bahagian tengah ikan.
  5. 5
    Balut setiap ekor ikan dengan kemas.
  6. 6
    Panaskan kuali pemanggang (grill pan) dengan api sederhana-tinggi. Sapukan sedikit minyak masak.
  7. 7
    Susun ikan di atas kuali dan bakar selama 3-4 minit untuk setiap belah, atau sehingga ikan masak sepenuhnya dan kulitnya sedikit garing keperangan.
  8. 8
    Angkat ikan dan rehatkan selama 2-3 minit sebelum dihidang.
Iklan

Cara Penyajian

  1. 1
    Hidangkan ikan bakar bersama nasi putih yang masih panas.
  2. 2
    Letakkan air asam kerisik di dalam mangkuk kecil di sebelahnya.
  3. 3
    Lengkapkan hidangan dengan ulam-ulaman segar seperti hirisan timun dan kacang botol. Kalau ada telur masin, lagi padu!
  4. 4
    Cicah isi ikan ke dalam air asam dan nikmatilah kelazatannya. Selamat mencuba!
Iklan
Petua & Panduan
  • Untuk air asam, gunakan tomato yang merah ranum untuk bahan kisar supaya kuah lebih cantik warnanya. Manakala untuk bahan hiris, pilih tomato yang sedikit keras supaya teksturnya lebih rangup bila digigit.
  • Pastikan kerisik yang dibeli masih elok dan tidak berbau hapak. Rasa sedikit sebelum digunakan untuk memastikan kualitinya.
  • Untuk hilangkan hanyir ikan, boleh lumurkan ikan dengan perahan jus limau nipis dan bilas bersih sebelum dilumur dengan bahan perapan.
  • Jangan kerap sangat balikkan ikan semasa membakar ya, nanti isinya mudah hancur. Cukup sekali untuk setiap belah.

Kongsi Pengalaman Anda!

Pernah cuba teknik lain? Kongsikan di bawah!

Ada tips untuk memperbaiki resepi ini?

Komen

Anda perlu melanggan untuk bertanya soalan AI.

Langgan Sekarang

Soalan & Jawapan

Tiada soalan lagi.

Che Nom

Mengenai Penulis

Che Nom ialah seorang penggemar masakan tradisional Malaysia yang aktif berkongsi resipi ...

843 Resipi
Lihat profil Che_Nom

📧 Langgan Newsletter Kami!

Dapatkan tips masakan dan resepi terbaru terus ke inbox anda. Percuma!

Kongsi Resepi Ini

Kongsi:

Artikel Terbaru

Resepi Berkaitan

Resepi Terbaru